Permulaan Jasad Manusia
[Yang pertama muncul kepada kewujudan dalam Alam Besar dan kumpulan terakhir yang dikeluarkan]
Hakikat dalaman manusia tumbuh
menjadi kerajaan dengan kekuasaan yang nyata
Kemudian zatnya bersemayam di atas singgahsana Adam
sebagaimana Arasy diduduki oleh Yang Maha Pemurah.
Hakikat jasadnya muncul dalam bentuk asalnya,
dan kerajaan bagi kewujudan kedua lengkap dengannya.
Pengenalan ilmunya lahir dalam kenyataannya
di kalangan yang mulia dan yang membenci
Maka mimpinya menjadi remeh-temeh lantaran pengetahuannya
dan syaitan yang direjam menjadi bangga.
Mereka mencari kehampiran Allah dalam Malakut-Nya
tetapi syaitan kecil membawa kesesatan kepada mereka.
[Kejadian alam yang didiami]
Ketahuilah! Semoga Allah membantu kamu! - masa didiami alam semulajadi ini yang dikongkong oleh masa dan dikandung oleh ruang adalah 71,000 tahun yang diketahui dalam dunia ini. Tempuh masa ini adalah 11 hari daripada hari-hari nama-nama yang lain. Dan satu dua perlima hari daripada hari-hari Pemilik Pendakian. Ada berbagai-bagai jenis hari. Allah berfirman,
"Dalam satu hari yang ukurannya 50,000 tahun" (4:70)
dan
"satu hari pada sisi Tuhan kamu seumpama 1000 tahun bilangan kamu"(22:47).
Hari yang paling singkat ialah yang diukur melalui pergerakan sfera yang meliputi yang menyata dalam hari kita 24 jam. Hari yang paling singkat bagi orang Arab, iaitu yang ini, kepunyaan sfera yang paling besar. Itu adalah kerana pengaruhnya terhadap sfera di dalamnya kerana pergerakan apa yang di bawahnya pada malam dan siang pergerakan permukaannya mengheret baki sfera yang diliputinya.
[Pergerakan asas dan pergerakan permukaan sfera]
Setiap pergerakan sfera diikuti oleh pergerakan permukaannya. Setiap sfera di bawahnya ada dua pergerakan pada pergerakan yang sama: pergerakan asas dan pergerakan permukaan. Setiap pergerakan asas pada setiap sfera mempunyai hari tertentu berlaku daripada Sfera Yang Meliputi yang dinyatakan dengan firman-Nya, "menurut kiraan kamu". Semuanya melintasi Sfera Yang Meliputi. Bilamana ia melintasinya secara keseluruhannya, harinya menjadi kepunyaannya dan lakarannya berpusing. Hari yang paling singkat ialah 28 hari "menurut kiraan kamu". Ia adalah ukuran lintasan pergerakan bulan dalam Sfera Yang Meliputi.
Allah dirikan tujuh planet di langit supaya pandangan manusia boleh menyaksikan lintasan sfera-sfera dalam Sfera Yang Meliputi
"bagi mengetahui bilangan tahun dan hitungan" (10:5). "Dia tentukannya melalui setesen-setesen supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan" "Kami akan bezakan segala perkara" (17:11) "Ia adalah ketentuan Yang maha Berkuasa, Maha Mengetahui" (6:96).
Setiap planet ada hari yang ditentukan yang membezakan mereka di antara satu sama lain menurut kelajuan pergerakan aslinya atau kecil-besar saiz sferanya.
[Penciptaan Qalam dan Loh Mahfuz]
Ketahuilah Allah kemudiannya menciptakan Qalam dan Loh Mahfuz dan memanggilnya Akal dan Roh. Dia kurniakan kepada Roh dua sifat: sifat ilmu dan sifat amal atau perbuatan. Dia menjadikan Akal sebagai pengajar dan menyampaikan secara menggunakan penyaksiannya, seperti keadaan memotong daripada bentuk pisau tanpa ia mengatakan apa-apa mengenainya. Allah ciptakan unsur (jauhar) tanpa diri iaitu Roh yang telah diceritakan yang dipanggil habuk (debu). Ini adalah istilah yang sampai kepada kita daripada 'Ali ibn Abi Talib.
[Penciptaan habuk (haba')]
Habuk disebut dalam bahasa Arab. Allah berfirman,
"ia bertaburan seperti habuk" (56:6).
Ia adalah demikian bila 'Ali ibn Abi Talib menyaksikannya, bermakna unsur ini bertaburan dalam bentuk aslinya, dan tiada bentuk yang terlepas daripadanya kerana anasir yang dipanggil habuk ini membentukkan bentuk rupa.. Ia ada dengan setiap bentuk oleh hakikatnya. Ia tidak boleh dipecahkan ataupun dinyatakan secara pengurangan. Ia seumpama keputihan yang wujud pada setiap benda putih oleh zatnya dan hakikatnya. Tidak dikatakan ada pengurangan keputihan menurut kadar benda itu menerima keputihan. Ini menyerupai keadaan unsur ini.
[Empat peringkat di antara Roh dengan Habuk]
Allah mengadakan empat tahap di antara Roh ini yang dinyatakan oleh dua sifat tersebut dan habuk itu. Dia jadikan setiap peringkat sebagai satu tahap bagi empat malaikat. Dia melantik malaikat-malaikat ini sebagai penjaga kepada apa yang Dia keluarkan pada alam di bawah mereka, daripada 'Illiyun' hingga ke "yang paling bawah". Dia kurniakan kepada setiap malaikat ini pengetahuan yang perlu di bawa ke dalam alam.
Yang pertama Allah bawa kepada kewujudan dalam bentuk asal yang berhubung dengan ilmu dan pentadbiran malaikat-malaikat ini ialah Badan Sejagat (Universal). Bentuk pertama yang Allah bukakan dalam badan ini ialah bentuk sfera (seperti bola) kerana ia adalah bentuk yang terbaik. Kemudian Allah membawanya kepada kewujudan dengan kesempurnaan gubahan, dan jadikan semua yang Dia ciptakan di bawah penjagaan malaikat-malaikat ini. Dia amanahkan kepada mereka urusan berkenaan dalam dunia ini dan juga akhirat dan memeliharanya daripada melanggar apa yang Dia perintahkan kepada mereka. Dia menceritakan kepada kita bahawa mereka,
"tidak menderhakai Allah pada yang Dia perintahkan dan mereka melaksanakan apa yang mereka diperintahkan" (66:6).
[Penciptaan benda-benda (muwalladat)]
Kemudian Dia selesai menciptakan bahan-bahan yang tidak bernyawa, tumbuh-tumbuhan dan haiwan pada akhir 71,000 tahun dunia yang kamu hitung dan aturkan dunia ini dalam keadaan yang paling rapi. Daripada ciptaan yang pertama hinggalah yang terakhir, iaitu haiwan, Dia tidak menggunakan kedua-dua tangan-Nya dalam ciptaan apa sahaja kecuali manusia. Manusia adalah bentuk habuk yang berjasad. Segalanya kecuali untuk itu Dia ciptakan daripada perintah Ilahi atau dengan sebelah tangan. Allah berfirman,
"Apabila Kami berkehendak menjadikan sesuatu Kami hanya katakan 'jadi!(Kun)' maka jadilah ia" (16:40).
Ini adalah perintah Ilahi. Dalam hadis ada mengatakan Allah ciptakan syurga Adn dengan tangan-Nya, menulis Taurat dengan tangan-Nya, menanam pokok Thuba dengan tangan-Nya dan menciptakan Adam, iaitu manusia, dengan kedua-dua tangan-Nya. Bagi menunjukkan kemuliaan bagi Adam, Allah berfirman kepada iblis,
"Apa yang menghalang engkau sujud kepada apa yang Aku ciptakan dengan tangan-tangan-Ku?" (38:75).
[Sfera paling rendah dan Buruj Dua Belas (zodiak)]
Bila Allah ciptakan sfera yang paling rendah, iaitu yang pertama dinyatakan di atas, Dia membahagikannya kepada 12 bahagian dipanggil "Buruj". Allah berfirman,
"dan langit dengan buruj-buruj" (85:1).
Setiap bahagian ada buruj dan bahagian-bahagian tersebut ada empat suasana. Dia ulangi setiap bahagian daripada empat bahagian itu pada tiga tempat. Dia jadikan bahagian-bahagian ini seumpama tempat perhentian dan takungan air di mana pengembara berhenti, dan dalamnya pelayar yang dalam pelayaran mengembara maka pada perhentian inilah sampainya perjalanan planet-planet yang melalui mereka. Apa yang Allah adakan dalam sfera planet-planet ini yang laluannya melalui buruj-buruj tersebut supaya, melalui lintasan dan perjalanan mereka, diadakan apa yang Dia berkehendak pada alam anasir dan semulajadi. Dia jadikan mereka sebagai tanda perjalanan bagi kesan pergerakan sfera buruj-buruj, maka ketahuilah akan yang demikian!
[Alam semulajadi dan empat anasir]
Alam semulajadi pada satu bahagian daripada empat bahagian itu ialah panas dan kering; keduanya sejuk dan kering; ketiganya panas dan basah; dan keempatnya sejuk dan basah. Dia jadikan bahagian kelima dan kesembilan seperti bahagian yang pertama, yang keenam dan kesepuluh seperti yang kedua, yang ketujuh dan kesebelas seperti yang ketiga, dan yang kelapan dan kedua belas seperti yang keempat dalam keadaan semulajadinya. Jadi Allah isikan badan semulajadi menurut perbezaan, dan badan anasir tanpa perbezaan, dalam yang empat ini iaitu: panas, sejuk, kering dan basah. Walaupun mereka empat acuan, Allah jadikan dua daripadanya sebagai asas kepada kewujudan dua yang lain. Haba mengeluarkan kekeringan dan sejuk mengeluarkan kebasahan. Ini dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya,
"Tidak ada yang basah atau yang kering melainkan sudah ada dalam Buku Yang Nyata" (6:59)
lantaran sebab itu, oleh kerana ia dikeranakan, mesti ada kewujudan sebab, atau jika ia adalah kesan, maka ia mesti ada sebab, bagaimanapun kamu meletakkannya. Kewujudan sebab tidak memerlukan kewujudan sesuatu akibat.
[Al-Falak al-Atlas]
Bila Allah ciptakan sfera yang pertama ini, ia berpusing dengan lakaran yang penghujungnya hanya Allah sahaja mengetahuinya kerana tiada badan terhad di atasnya untuk melintasinya. Ia adalah badan tipis (jarang) yang pertama. Pergerakan menurut perkiraan dan dijadikan jelas. Allah tidak ciptakan apa-apa dalamnya. Kemudian pergerakan menjadi jelas dan berakhir pada sesuatu yang berada di dalamnya. Jika tidak demikian, pergerakan di dalamnya tidak akan menjadi jelas samasekali kerana tidak ada planet dalam al-Falak al-Atlas, dan ia menyerupai dirinya sendiri. Jadi ukuran satu pergerakan dalamnya tidak diketahui dan tidak juga ditentukan. Sekiranya ada sebahagian daripadanya di dalamnya ia adalah berbeza daripada bahagian yang lain, maka tanpa keraguan pergerakannya akan dikira dengannya. Tetapi Allah mengetahui ukurannya, akhirannya dan ulangannya. Hari terjadi daripada pergerakan itu. Di sana tidak ada malam atau siang pada hari itu.
Kemudian perjalanan sfera ini berterusan dan Allah ciptakan 35 malaikat sebagai tambahan kepada 16 malaikat yang telah kami nyatakan. Jadi jumlahnya menjadi 411 malaikat. Malaikat-malaikat ini termasuklah Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail. Kemudian Dia ciptakan 974 malaikat dan tambahkan mereka kepada golongan malaikat yang telah kami nyatakan. Dia bukakan kepada mereka dan perintahkan mereka menurut bakat mereka yang Dia ciptakan. Mereka berkata,
"Kami tidak turun, melainkan dengan perintah Tuhanmu. Kepunyaan-Nya apa yang di hadapan dan apa yang di belakang kita, dan yang di antara keduanya. Dan Tuhanmu tidak pernah lupa" (19:64).
Allah berfirman kepada mereka,
"Mereka tidak menderhakai Allah pada apa yang diperintahkan kepada mereka," (66:6).
Mereka adalah malaikat yang khususnya menjadi penjaga. Allah ciptakan malaikat yang menjadi penghuni langit dan bumi untuk beribadat kepada-Nya. Tidak ada tempat di langit dan di bumi yang tidak ada malaikat padanya. Allah terus menciptakan malaikat daripada nafas dunia selagi ia bernafas.
[Penciptaan Kediaman yang paling hampir]
Bila pergerakan sfera ini, yang tempuhnya 54,000 tahun menurut kiraan kamu, sudah lengkap, Allah jadikan dunia ini dan tentukan baginya ketentuan yang jelas yang mana ia akan berakhir dan bentuknya akan terhapus. Ia akan ditukarkan daripada menjadi tempat kediaman kita dan menerima bentuk tertentu, iaitu apa yang kita lihat hari ini, kepada
"bumi digantikan dengan bumi lain, dan langit juga".
Bila 36,000 tahun kiraan kamu mencukupi bagi pergerakan sfera ini, Allah jadikan alam baharu: Syurga dan Neraka yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya, kedua-duanya yang bahagia dan yang celaka. Di sana 9,000 tahun kiraan kamu di antara penciptaan alam ini dan penciptaan alam akhirat. Sebab itulah ia dinamakan "yang kemudian" kerana ciptaannya diperlambatkan sehingga selepas penciptaan alam ini yang dipanggil "yang pertama" kerana ia diciptakan sebelumnya. Allah berfirman,
"Yang kemudian adalah lebih baik bagi kamu daripada yang terdahulu" (97:4).
Dia menyampaikan kepada Rasul-Nya s.a.w, dan tidak mengadakan ketentuan binasa bagi Alam Akhirat. Ia adalah abadi.
[Bumbung Syurga ialah al-Falak al-Atlas]
Allah jadikan sfera ini sebagai bumbung Syurga. Kita panggilnya Arasy yang pergerakannya tidak khusus dan tidak juga jelas. Pergerakannya berterusan, tiada kesudahan. Tidak ada ciptaan yang telah kami nyatakan diciptakan tanpa matlamat kedua, iaitu menghubungkan dirinya kepada kewujudan manusia yang menjadi Wakil Raja dalam dunia ini. Saya katakan "matlamat kedua" kerana matlamat pertama penciptaan ialah mengenal Allah dan beribadat kepada-Nya kerana inilah tujuan seluruh alam maya diciptakan. Tidak ada apa kecuali yang meninggikan puji-pujian-Nya. Makna matlamat kedua dan pertama ialah hubungan kehendak, bukan dalam ruangan masa berkehendak, kerana kehendak Allah adalah sifat mutlak sebagaimana Zat-Nya di ceritakan seperti juga semua sifat-sifat-Nya.
[Pegerakan langit dan Pegerakan bumi]
Kemudian Allah ciptakan sfera-sfera ini dan langit-langit, dan mengilhamkan kepada setiap langit dengan perintah-Nya dan mengaturkan cahaya-cahaya dan lampu-lampu di dalamnya, dan mengisikannya dengan para malaikat dan menjadikannya bergerak. Jadi semuanya bergerak kerana mentaati Allah, datang kepada-Nya, mencari kesempurnaan kehambaan yang layak bagi masing-masingnya, kerana Allah perintahkan kepada langit dan bumi,"Datanglah dengan rela atau terpaksa" dengan perintah yang ditujukan kepada mereka. Mereka menjawab,"Kami datang dengan rela". Jadi, mereka terus menerus datang dan terus bergerak, sekalipun pergerakan bumi tersembunyi daripada kita. Ia bergerak mengelilingi pusat kerana ia berpusing. Bagi langit pula, ia datang dengan rela apabila Allah perintahkan. Bumi datang dengan rela apabila ia mengetahui akan dipaksa dan Allah mesti membawanya bila Dia berfirman, "atau dengan terpaksa". Itulah yang dimaksudkan dengan firman-Nya, "atau dengan terpaksa". Ia datang dengan rela secara terpaksa!
"Dia dirikan tujuh langit dalam dua hari, dan Dia mengilhamkan kepada setiap langit dengan perintah-Nya" (41:12).
[Penciptaan bumi dan ketentuan makanan padanya]
Allah ciptakan bumi dan tentukan makanan padanya menurut bahan-bahan keluarannya. Dia sediakan khazanah bagi keperluan pemakanan mereka. Kami telah sentuh mengenai aturan pembentukan dunia dalam buku al-'Aql al-Mustawfir. Sebahagian daripada ketentuan makanannya ialah kewujudan air, udara dan api, begitu juga apa yang dikandungi sebagai wap, awan, kilat, guruh, dan kesan-kesan daripada langit.
"Itu adalah ketentuan Yang Maha Gagah, Maha Mengetahui" (6:96).
Dia jadikan jin daripada api, dan burung, reptilia di darat dan di laut, dan serangga daripada kereputan bumi agar udara menjadi bersih bagi kita, bebas daripada wap kereputan. Jika wap kereputan itu bercampur dengan udara yang dalamnya Allah amanahkan kehidupan dan kesejahteraan manusia dan haiwan, akan membuatkan mereka jatuh sakit, lemah dan kepayahan. Jadi Allah sucikan atmosfera untuknya sebagai kasihan belas-Nya bila Dia jadikan makhluk ini daripada benda-benda reput. Dengan demikian hanya kedapatan sedikit penyakit.
[Penciptaan manusia]
Dan kemudian Kerajaan siap disusunkan dan disediakan, namun tidak ada makhluk yang mengetahui daripada jenis apakah Wakil Raja itu akan diwujudkan, sedangkan demi kewujudannya Allah sediakan kerajaan ini. Apabila masa yang ditentukan menurut ilmu-Nya sampai bagi mengwujudkan Wakil Raja tersebut, 17,000 tahun sesudah dunia ini didiami dan 8,000 tahun selepas alam kemudian, yang tidak ada kesudahan, didiami, Allah perintahkan malaikat membawakan segenggam tanah yang berbagai-bagai jenis daripada bumi. Berbagai-bagai kisah yang panjang diceritakan mengenai perihal malaikat mengambil tanah tersebut. Allah mengambilnya dan mengulinya dengan tangan-tangan-Nya. Ini adalah perkataan-Nya,
"apa yang Aku ciptakan dengan tangan-tangan-Ku" (38:75).
Allah mengamanahkan setiap malaikat yang telah disebutkan dengan amanah bagi Adam. Dia berfirman,
"'Aku ciptakan manusia daripada tanah liat" (38:71).
Amanah ini yang ada dengan kamu adalah miliknya. Bila Aku ciptakannya, setiap kamu berikan kepadanya apa yang kamu ada yang Aku amanahkan kamu baginya.
"Bila Aku siap menciptakannya dan Aku tiupkan daripada roh-Ku kepadanya, maka sujudlah kepadanya" (15:29).
Kemudian Allah uli tanah liat bagi ciptaan Adam dengan kedua-dua tangan-Nya, sehingga ditukarkan baunya iaitu kebusukan tanah liat. Itu adalah bahagian yang udara berada di dalam binaannya. Dia jadikan bahagian luarnya sebagai tempat bagi anak-cucunya yang bahagia dan yang celaka. Dia amanahkan apa yang ada dalam tangan-tangan-Nya. Allah menerangkan bahawa yang bahagia di dalam tangan kanan-Nya dan yang celaka di dalam tangan kiri-Nya. "Kedua-dua tangan Tuhanku adalah tangan kanan yang suci". Dia berfirman, "Itu adalah bagi syurga dan yang melakukan kebaikan ahli syurga. Itu adalah untuk neraka dan mereka yang melakukan amalan ahli neraka".
Dia amanahkan keseluruhannya dalam tanah liat Adam, dan gabungkan yang bertentangan di dalamnya secara prinsip anggaran. Dia bentuknya atas pergerakan lurus, dan ia di bawah penguasaan Virgo. Dia jadikan enam arah baginya: atas, iaitu yang melepasi kepalanya, bawah yang bertentangan dengannya iaitu di bawah kakinya, kanan yang berada di sebelah bahagiannya yang kuat, dan kiri yang bertentangan dengannya yang disebelah bahagiannya yang lemah, hadapan ialah yang sebelum mukanya, dan belakang yang bertentangan iaitu yang di belakang tengkuknya. Dia bentukkan, seimbangkan dan susunkannya. Kemudian Dia tiupkan daripada roh-Nya kepadanya. Bila ia sudah ditiupkan kepadanya, apabila ia menjalar ke seluruh bahagian tubuhnya, empat perkara muncul . Empat perkara itu ialah: cecair kuning (hempedu), cecair hitam, darah dan air liur.
Cecair kuning dari anasir api yang daripadanya ia dijadikan, firman-Nya,
"daripada tanah liat seumpama pembuat periuk (dari tanah liat yang dibakar)" (55:14).
Cecair hitam daripada tanah, firman-Nya,
"Dia ciptakannya daripada tanah" (15:26).
Darah daripada udara, dan daripada perkataan-Nya, "tanah liat yang busuk". Air liur daripada air yang dengannya tanah diuli dan menjadi tanah liat. Kemudian Allah datangkan kuasa daya tarikan yang dengannya haiwan menarik makanan, kemudian kuasa mencengkam yang dengannya haiwan memegang apa yang menjadi makanannya, kemudian kuasa penghadaman yang dengannya makanan dihadamkan, dan kemudian kuasa membuang yang dengannya dia mengeluarkan daripada dirinya - peluh, wap, udara, najis dan lain-lain.
Bagi penyebaran wap dan pembahagian darah di dalam urat daripada hati dan setiap bahagian haiwan, ia dengan kuasa penarikan, bukan kuasa pembuangan. Bahagian kuasa pembuangan hanya apa yang ia keluarkan, iaitu bahan-bahan buangan. Kemudian Allah datangkan kuasa memberi makan, membesar, deria-deria, imaginasi, ilusi, kebolehan menyimpan dan ingatan. Semuanya ini dalam manusia sama sahaja dengan yang dalam haiwan, tidaklah meletakkannya pada taraf manusia melainkan kerana empat kebolehan: kebolehan imaginasi, ilusi, kebolehan menyimpan dan daya ingatan. Kebolehan ini lebih kuat dalam manusia daripada dalam haiwan.
Kemudian Dia kurniakan kepada manusia bakat atau kebolehan untuk mengerti, pemikiran dan akal, dan ini menjadikannya berbeza daripada haiwan. Dia letakkan sekalian bakat-bakat ini pada jasad manusia sebagai alat bagi Diri Zahir memperolehi segala manfaat daripadanya.
"Kemudian Dia bentuknya kepada makhluk yang lain" (23:14),
iaitu kemanusiaan. Dia jadikan manusia mengenal melalui bakat-bakat tersebut, dan dia menjadi hidup, mengetahui, berkuasa, berkehendak, berkata-kata, mendengar dan melihat menurut sempadan yang dimilikinya.
"Segala puji bagi Allah, sebaik-baik Pencipta" (23:14).
Kemudian Allah tidak menamakan Diri-Nya dengan sebarang nama tanpa meletakkan sebahagian daripada sifat nama tersebut kepada manusia sebagai bahagian yang daripada-Nya yang menyata dalam dunia menurut apa yang wajar baginya. Kerana itulah ada orang yang memahamkan perkataan Rasulullah s.a.w, "Allah ciptakan manusia dalam rupa-Nya" sebagai membawa maksud ini. Dia hantarkan manusia sebagai Wakil Raja iaitu wakil-Nya di bumi kerana bumi merupakan sebahagian daripada alam perubahan dan pertukaran, yang bertentangan dengan Alam Tinggi. Pengadilan berlaku di kalangan penghuni bumi menurut perubahan yang berlaku pada alam langit. Dengan demikian prinsip-prinsip bagi semua nama-nama Ilahi menyata. Maka Adam lebih tepat merupakan khalifah di bumi daripada di langit dan syurga. Di sana apa yang Dia perintahkan adalah: pengetahuan Nama-nama, sujudnya malaikat-malaikat, dan keingkaran iblis sebagaimana yang akan dibicarakan pada bahagian yang sesuai nanti, Insya' Allah.
[Jasad manusia dan jenisnya]
Tajuk ini dikhususkan untuk membicarakan tentang permulaan jasad manusia. Ada empat jenis: jasad Adam, jasad Hawa, jasad Isa dan jasad keturunan Adam. Setiap jasad ini berbeza daripada pembentukan jasad-jasad lain menurut hukum sebab musabab, sekalipun bersamaan dalam bentuk zahiriah dan rohaniah. Kami katakan ini, dan membicarakan mengenainya agar akal yang lemah tidak terdorong untuk membayangkan kuasa Ilahi atau hakikat sebagai tidak cukup berkuasa, dan menganggapkan bahawa makhluk bangsa manusia ini muncul daripada hanya satu penyebab yang zatnya memperkenankan pembentukan ini. Allah menyangkal keraguan ini lantaran pembentukan manusia ini muncul pada Adam dengan cara yang ia tidak muncul pada Hawa; jasad Hawa muncul melalui perantaraan yang jasad Adam tidak muncul melaluinya; dan jasad keturunan Adam muncul melalui cara yang jasad Isa tidak melaluinya. Setiap daripada semua ini dipanggil manusia menurut istilah. Ianya begitulah seharusnya diketahui bahawa Allah mempunyai ilmu mengenai segala perkara dan bahawa Dia berkuasa berbuat apa sahaja.
Kemudian, Allah gabungkan semua empat jenis makluk ini dalam satu ayat Quran, Surah al-Hujurat (49:13) Dia berfirman,
" Wahai manusia, Kami yang ciptakan kamu"
bermaksud Adam, "daripada lelaki" bermaksud Hawa dan "daripada perempuan" bermaksud Isa, dan digabungkan "daripada lelaki dan perempuan" bermaksud melalui perkahwinan dan kelahiran. Ayat ini adalah sebahagian daripada "semua perkataan" dan "ungkapan yang jelas" yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w.
[Jasad Adam dan jasad Hawa]
Kemudian jasad Adam muncul sebagaimana yang dinyatakan, dan dia tidak ada keinginan untuk berkahwin. Allah sudah mengetahui ketentuan untuk kelahiran, pembiakan dan perkahwinan dalam kewujudan ini. Perkahwinan pada tempat ini adalah bagi kesinambungan kewujudan jenis-jenis. Kemudian Dia ciptakan Hawa daripada tulang rusuk Adam yang paling kecil. Oleh sebab itu perempuan berada pada peringkat yang lebih rendah daripada lelaki seeprti firman Allah,
"Lelaki ada kelebihan di atas perempuan" (2:228).
Jadi perempuan tidak dapat mengatasi lelaki. Hawa memiliki kebengkokan yang ada pada tulang rusuk, maka dengannya dia mempunyai kecenderungan kepada anak-anak dan suami. Kecenderungan lelaki (=kemesraan) kepada perempuan adalah kecenderungannya terhadap dirinya sendiri kerana perempuan adalah sebahagian daripadanya. Perempuan tertarik kepada lelaki kerana dia diciptakan daripada tulang rusuk, dan tulang rusuk ada kelengkungan dan kecenderungan.
[...cinta Adam dan cinta Hawa]
Allah isikan bahagian Adam yang daripadanya muncul Hawa dengan keinginan terhadapnya (Hawa) kerana tidak seharusnya ada kekosongan pada kewujudan. Bila Dia isikan pada Adam keinginan, Adam merindui Hawa sebagaimana dia merindui dirinya sendiri kerana Hawa adalah daripadanya. Hawa merindui Adam kerana Adam adalah asalnya di mana dia diciptakan. Cinta Hawa adalah kecintaan kepada asal usul, dan kecintaan Adam adalah cintakan diriny sendiri. Kerana sebab itu, kecintaan lelaki kepada perempuan menyata kerana perempuan adalah sama dengannya, dan perempuan pula diberikan bakat yang ditentukan dengan sifat pemalu dalam menyintai lelaki. Perempuan mampu berahsia kerana asal usulnya tidak disatukan kepadanya seperti Adam disatukan kepada Hawa.
Allah gubahkan dalam tulang rusuk itu semua yang Dia gubahkan dan ciptakan pada jasad Adam. Pembentukan jasad Adam dalam bentuknya sama seperti pembuat periuk menggubahkan daripada tanah liat dan bakaran. Pembentukan jasad Hawa sama seperti tukang kayu gubah ukiran pada kayu. Bila dia ukirkan Hawa dalam tulang rusuk dan tentukan bentuknya, sempurnakan pembentukannya, ditiupkan padanya daripada roh-Nya. Hawa mendapat tempat sebagai perempuan yang hidup dan boleh berkata-kata, mengambil tempatnya dalam pembiakan. Adam berasa tenteram dengan Hawa dan Hawa berasa tenteram dengan Adam. Hawa adalah "pakaian Adam dan Adam pakaian Hawa" Allah berfirman,
"Mereka adalah pakaian kamu dan kamu pakaian mereka" (2:187).
Keinginan menjalar kepada seluruh bahagian jasadnya dan dia mencari Hawa.
[Kejadian jasad jenis ketiga]
Kemudian Adam menutupi Hawa dan menuangkan air ke dalam kandungannya dan dengan setitik air itu, darah haid yang Allah tentukan untuk perempuan mengalir, dan dalam jasad itu terbentuk jasad ketiga yang berbeza daripada cara pembentukan jasad Adam dan Hawa. Inilah jasad jenis ketiga. Allah peliharakan pembentukan di dalam kandungan itu seperingkat demi seperingkat dengan perubahan daripada air mani kepada darah beku kepada segumpal daging kepada tulang. Kemudian Allah pakaikan daging kepada tulang. Bila pertumbuhan kehaiwanan ini lengkap, Dia bentukkan makhluk lain dan dengannya meniupkan roh manusia ke dalamnya.
"Segala puji bgai Allah, Pencipta yang paling baik" (23:14).
Sekiranya bukan kerana terlalu panjang, tentuk mai terangkan pembentukan manusia di dalam kandungan seperingkat demi seperingkat, dan malaikat yang menjaga yang mengawasi pembentukan janin dalam kandungan sehinggalah ia keluar. Tetapi kami mahu perkatakan tentang tubuh manusia. Walaupun sama menurut takrif, kenyataan, perasaan dan bentuk yang khusus, sebab bagi komposit berbeza agar tidak ada orang yang membayangkan bahawa ia kepunyaan zat penyebab. Maha Tinggi Allah! Itu merujuk kepada Pelakun yang dipilih yang melakukan apa yang Dia kehendaki bila Dia kehendaki tanpa larangan atau tidak berupaya dalam satu perkara berbanding dengan perkara lain.
"Tiada Tuhan melainkan Dia, Maha gagah, Maha Bijaksana" (3:18).
[Kejadian jasad Isa]
Pengkaji haiwan dan tumbuh-tumbuhan mengatakan mani perempuan tidak mempunyai apa-apa yang dibentuk daripadanya - walaupun janin yang dalam kandungannya datang daripada mani lelaki. Oleh yang demikian kami jadikan pembentukan Isa sebagai pembentukan yang lain, sekalipun peraturannya di dalam kandungan menyamai peraturan bagi jasad-jasad bayi yang lain. Kejadian jasad Isa adalah daripada mani perempuan kerana Roh zahir kepadanya tanpa menyalahi peraturan, atau ianya daripada tiupan nafas tanpa air. Jasad Isa adalah jasad jenis keempat, yang berbeza cara kejadiannya dengan jasad-jasad yang lain. Allah berfirman,
"Sesungguhnya, kesamaan Isa" (2:56)
iaitu kejadian Isa,
"dengan Allah adalah umpama kesamaan Adam. Dia ciptakannya daripada habuk".
Gantinama itu merujukkan kepada Adam. Kesamaan itu merujuk kepada kejadian Isa tanpa bapa, iaitu keadaan kejadiannya menyerupai kejadian Adam, sekalipun Dia ciptakan Adam daripada habuk. Kemudian Allah katakan, "Jadi!".
Isa tidak berada dalam kandungan Maryam selama tempuh kandungan biasa. Pembentukannya berlaku dengan cepat kerana Allah berkehendak menjadikannya sebagai tanda bagi manusia dan menjadikannya sebagai penafian kepada anggapan mereka yang berpegang kepada hukum alam yang biasa, tidak dengan kejadian yang rahsia dan ajaib yang Allah pertaruhkan dalamnya. Sebahagian mereka yang berakal merumuskan hal ini sebagai hukum alam dan berkata, "Kami hanya tahu apa yang Engkau beritahu, dan ia mengandungi perkara-perkara yang kami tidak tahu".
[Manusia di bumi seperti akal di langit]
Inilah sebabnya kami nyatakan permulaan kejadian jasad manusia dan kenyataan bahawa terdapat empat jenis jasad yang terbentuk secara berbeza dan manusia merupakan kejadian yang paling akhir. Maka ia adalah seumpama akal dan berhubungan dengannya kerana kewujudan ini adalah bulatan. Permulaan bulatan ialah kewujudan Akal Awal seperti yang dinyatakan dalam hadis: "Yang pertama Allah ciptakan ialah Akal". Ia merupakan jenis pertama. Kejadian berakhir pada jenis manusia, maka bulatan menjadi lengkap dan manusia dihubungkan degan akal, sebagaimana titik akhir bulatan disambungkan dengan awalnya. Begitulah keadaannya. Di antara dua hujung bulatan itu adalah semua jenis atau bangsa yang Allah ujudkan dalam alam ini, di antara Akal Awal, iaitu Qalam, dan manusia, iaitu kejadian terakhir.
Kemudian garisan muncul daripada titik yang berada di tengah-tengah bulatan kepada garis lengkung bulatan yang muncul daripadanya, dan muncul bersamaan pada setiap bahagian garis lengkung. Ia serupa dengan hubungan Allah dengan semua yang wujud. Ia adalah hubungan yang sama. Perubahan tidak berlaku sama sekali. Semua perkara bergantung kepada-Nya dan menerima apa yang Dia kurniakan seperti bahagian garis lengkung bergantung kepada titik pusat.
Allah binakan bentuk manusia secara pergerakan lurus seumpama bentuk kayu pemyokong kepada khemah. Dia jadikan manusia sebagai penyokong bumbung langit. Allah menahannya daripada jatuh kerananya. Jadi manusia adalah seumpama kayu penyokong khemah. Bila bentuk manusia ini dihapuskan, dan tiada seorang manusia yang masih ada di muka bumi, maka langit pun runtuh, pada hari itu ianya akan jatuh kerana kayu penyokongnya iaitu manusia sudah terhapus.
Kemudian kehidupan akan berpindah ke Alam Kemudian kerana manusia sudah berpindah ke sana. Dunia ini akan menjadi satu keruntuhan disebabkan manusia telah meninggalkannya. Jadi kita ketahui dengan jelas bahawa manusialah yang menjadi tujuan diwujudkan dunia ini dan manusialah khalifah-Nya yang sebenar dan manusia itulah bekas yang menyatakan nama-nama Ilahi. Manusia membawa bersamanya semua hakikat-hakikat alam - malaikat, sfera (cakerawala), tubuh, alam semulajadi, bahan-bahan galian dan haiwan. Ini adalah menurut apa yang hanya diberikan kepadanya daripada pengetahuan tentang nama-nama Ilahi, sekalipun saiz dan jisimnya yang kecil. Allah berfirman,
"Tentunya penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia" (40:57)
kerana manusia dihasilkan daripada langit dan bumi, maka mereka menyerupai ibu bapa mereka. Allah menaikan darjat mereka kerananya,
"tetapi kebanyakan manusia tidak tahu" (7:187).
Dia tidak maksudkan lebih besar pada ukuran kerana yang demikian dapat ditangkap oleh pancaindera.
[Ujian bagi Manusia yang paling utama (al-Insan al-Akbar)]
Walau bagaimanapun, Allah menguji manusia dengan ujian yang tidak dikenakan kepada makhluk yang lain, samada Dia akan jadikannya bahagia atau Dia akan jadikannya celaka menurut apa yang Dia benarkan dia menggunakannya. Ujian yang Dia gunakan bagi menguji manusia ialah Dia jadikan pada manusia itu bakat atau kebolehan berfikir dan jadikan bakat ini berkhidmat kepada bakat lain yang dinamakan akal. Dia jadikan akal, seklipun ia tuan kepada fikiran, mengambil apa yang fikiran berikan kepadanya. Dia tidak berikan kepada fikiran sebarang bidang kecuali kebolehan berimaginasi. Dia jadikan bakat imaginasi sebagai bekas yang mengumpulkan apa yang bakat-bakat pancaindera berikan kepadanya. Dia juga berikan kepadanya bakat yang dinamakan pemahaman. Jadi dalam bakat imaginasi, tidak ada apa yang diperolehi kecuali apa yang diberikan oleh deria atau apa yang bakat pemahaman berikan. Anasir pemahaman datangnya daripada benda-benda yang berhubung dengan deria. Ia mengumpulkan bentuk-bentuk yang tidak ada sumber, sekalipun semua bahagiannya wujud dalam deria.
Itu kerana akal dijadikan bersih tanpa tipudaya dan tanpa pengetahuan yang agak-agak. Fikiran diberitahukan, "Bezakan di antara yang benar dan yang salah yang ada dalam bakat imaginasi ini." Fikiran mengkaji menurut apa yang ia ada. Ia mungkin memperolehi keraguan dan ia juga mungkin menemui pembuktian tanpa ia mengetahui yang demikian, sekalipun ia mengakui yang ia mengetahui bentuk keraguan daripada pembuktian. Ia memperolehi pengetahuan sementara ia tidak mengambil kira kekurangan anasir yang ia jadikan asas perolehan pengetahuannya. Akal menerima daripadanya dan membuat keputusan dengannya. Jadi kejahilannya boleh jadi lebih besar daripada pengetahuannya.
Kemudian Allah perintahkan akal supaya mengenali-Nya agar ia boleh merujuk kepada-Nya, tidak kepada sesuatu yang lain. Akal memahami yang bertentangan daripada apa yang Yang Haq kehendaki daripadanya, bila Dia berfirman,
"tidakkah mereka fikirkan?" (7:184) "kepada mereka yang berfikir" (10:24 dll).
Ia bergantung kepada fikiran dan jadikannya penghulu yang diikuti dan mengabaikan apa yang Allah maksudkan bila Dia sebut fikiran. Dia memberitahunya supaya berfikir agar ia dapat melihat bahawa tiada cara untuk mengetahui Allah melainkan dengan kurniaan makrifat Allah. Oleh kerana itu perkara yang sebenarnya akan disingkapkan kepadanya. Tidak semua akal memiliki pemahaman ini - ianya hanya akal yang dipilih oleh Allah dari kalangan anbia dan aulia.
Sekiranya saya ketahui jika mereka telah berkata, "Ya, bahkan!" dengan pemikiran mereka bila Allah bawakan mereka mengaku dengan diri mereka [terhadap ketuhanan Allah sebelum mereka diciptakan] di dalam genggaman keturunan anak-cucu Adam! Dia buat mereka mengakui demikian bila Dia mengambil mereka daripada pinggang-pinggang mereka adalah lantaran kekhuatiran. Walau bagaimanapun, bila mreka beralih kepada kebolehan berfikir mereka mengenai makrifat Allah, mereka tidak bersetuju sama sekali walaupun kepada satu keputusan mengenai makrifat Allah. Setiap kumpulan menubuhkan pengajiannya sendiri, dan kenyataan mereka mengenai kehadiran Ilahi yang dilindungi bertambah-tambah. Ahli-ahli fikir ini bertindak terlalu berani terhadap Allah. Semua ini menjadi sebahagian daripada ujian yang kami katakan bila Allah jadikan fikiran pada manusia.
Ahli Allah memerlukan Allah dalam mempercayai-Nya yang Dia pertanggungjwabkan kepada mereka mengenai makrifat-Nya. Mereka mengetahui bahawa yang dikehendaki daripada mereka ialah mereka merujuk kepada-Nya dalam hal tersebut, dan dalam segala hal. Sebahagian daripada mereka berkata, "Maha Suci Dia yang tidak mengadakan jalan untuk mengenali-Nya melainkan ketidakupayaan untuk mengenali-Nya!" Ada yang berkata, "Ketidakupayaan mencapai pengertian itulah pengertian". Rasulullah s.a.w bersabda, "Aku tidak berupaya menghitung puji-pujian-Mu!" Allah berfirman,
"Mereka tidak berupaya melingkungi-Nya dengan ilmu mereka" (20:110).
Mereka kembali kepada Allah dalam mengenali-Nya dan meninggalkan anggapan mengenai darjat-Nya dan melaksanakan tuntutan-Nya. Mereka tidak meletakkan-Nya pada apa yang tidak harus difikirkan mengenai-Nya. Telah dinyatakan bahawa adalah ditegah daripada memikirkan tentang Zat Allah. Allah berfirman,
"Allah memberi amaran kepada kamu tentang Diri-Nya" (3:28,30).
Allah kurniakan makrifat-Nya kepada mereka iaitu kurniaan-Nya dan menjadikan mereka saksi bagi makhluk-Nya dan kenyataan apa yang Dia jadikan mereka saksi. Jadi mereka tahu apakah yang secara logiknya mustahil melalui fikiran, adalah tidak mustahil melalui hubungan Ilahiah. Sebahagian daripada yang tersebut akan diketahui dalam tajuk "Bumi dijadikan daripada baki tanah liat Adam" dan tempat yang lain.
Iaitu yang manusia berakal berhutang budi kepada Allah lantaran dirinya mengetahui bahawa Allah berkuasa berbuat apa sahaja, mungkin atau mustahil - dan bukan segalanya mustahil. Dia memiliki kuasa yang berkesan dan kurniaan yang melimpah. Tidak ada ulangan pada apa yang Dia bawa kepada kewujudan - lebih tepat perkara yang serupa berlaku dalam anasir yang Dia bawa kepada kewujudan dan inginkan kesinambungan. Jika demikian kehendaknya, ia akan dihapuskan dengan tiupan.
"Tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Gagah, Yang Bijaksana" (3:18).
No comments:
Post a Comment