Monday, February 14, 2011

Syeikh Ibnu Arabi

Ada saudara yang mengatakan bahawa mantan Mufti Johor, Datuk Sayyid 'Alwi bin Thohir al-Haddad telah memfatwakan bahawa Syaikh Ibnu Arabi sebagai sesat. Aku belum dapat pastikan sejauh mana kebenaran hal ini, kerana aku belum lagi berjumpa dengan fatwa Samahah Mufti yang memfatwakan Ibnu Arabi sebagai sesat. Yang aku temui setakat ini adalah fatwa beliau terhadap fahaman wahdatul wujud yang ditafsirkan kepada hulul dan ittihad yang menyalahi 'aqidah itu sebagai sesat.
Berhubung dengan pribadi Syaikhul Imam Ibnu 'Arabi, setakat yang aku lihat, nampaknya Samahah Mufti ini mempunyai pendirian seperti para leluhurnya Saadah Bani Alawi. Dalam karangan beliau yang berjodol "`Uquudul - Almaas" antara kesimpulan yang diberi mengenai Syaikh Ibnu 'Arabi ialah beliau seorang wali tetapi kitab-kitabnya ditegah kita daripada membacanya. Beliau juga menukil celaan dan kritikan Imam Ibnu Hajar terhadap orang tasawwuf yang jahil yang hanya menyibukkan diri mereka dengan kitab-kitab Ibnu 'Arabi dan ilmu-ilmu kasyaf dengan meninggalkan ilmu-ilmu lain. Samahah Mufti juga membawa kisah Syaikh Abu Bakar al-'Aydrus di mana Syaikh Abu Bakar al-'Aydrus menceritakan:-
  • "Ayahku tidak pernah memukul dan membentakku kecuali sekali, tatkala dia melihat pada tanganku ada satu juzuk dari "Futuhaatul Makkiyyah" karya Ibnu 'Arabi. Maka marahlah ayahku dengan bersangatan marah, dan mulai saat itu dicegahnya aku daripada mentelaah karangan Ibnu Arabi. Dan dia telah menegah daripada mentelaah dua buah kitab karangan Ibnu 'Arabi, iaitu kitab "al-Futuhaat" dan kitab "al-Fushush" tetapi beliau menyuruh agar berbaik sangka dengan Ibnu 'Arabi serta mengi'tiqadkan bahawasanya beliau adalah daripada sebesar-besar wali dan ulama billah, al-'aarifin billah ta`ala. Dan beliau berkata:- "Bahawasanya kitab-kitabnya (yakni kitab Syaikh Ibnu 'Arabi) dipenuhi dengan hakikat-hakikat yang tidak diketahui melainkan oleh mereka-mereka yang khawas (arbab an-nihaayaat) dan berbahaya bagi mereka-mereka yang baru bermula (ahlu al-bidaayaat)."
Samahah Mufti juga menukilkan kalam ulama-ulama lain seperti Imam as-Sayuthi yang membela Ibnu Arabi tetapi menegah daripada mentelaah akan kitab-kitabnya tersebut. Kitab-kitab Ibnu Arabi penuh dengan ibarat-ibarat yang sukar difahami, dan dikhuatiri juga berlaku penyelewengan di mana golongan sesat telah melakukan penyisipan ke dalam karangan-karangan tersebut, dengan memasukkan perkara-perkara yang tidak pernah dinyatakan oleh Imam Ibnu 'Arabi atau memalsukan pernyataan-pernyataan beliau. Syaikh Ibnu 'Athoilah as-Sakandari telah menjelaskan hal ini sewaktu berdialog dengan Ibnu Taimiyyah, dialog tersebut insya-Allah, akan kupostkan di lain masa, bawak-bawaklah bersabar. Perkara sebegini tidaklah mustahil berlaku, bahkan sehingga kini pun terdapat geng-geng anak Pak Wahab juga turut aktif dalam pemalsuan kitab-kitab turats karangan ulama kita.
Oleh itu, berikanlah kehormatan sewajarnya bagi Imam Ibnu 'Arabi. Paling tidak kome anggaplah kedudukan masalah (baca betul-betul; kedudukan masalah ini, bukan kedudukan dan taraf individu tersebut) sama macam Ibnu Taimiyyah, i.e. ada ulama yang terima dan sanjung, dan ada juga yang tolak dan cela. Oleh itu, paling tidak kome tawaqquf le, jangan suka menyampuk cakapan orang tua, karang tulah susah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...